8 MAC - MEMPERINGATI HARI WANITA SEDUNIA
Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia pada hari ini, ayuhlah kita bersama melihat kisah seorang wanita Palestin iaitu Ummu Nidhal. Berikut merupakan sedikit kisah hidup beliau yang menjadi inspirasi kepada kaum wanita di Palestin dan seluruh dunia.
Maryam Muhammad Yusuf Farhat atau juga dikenali sebagai Ummu Nidhal dilahirkan di Gaza pada 24 September 1949. Beliau merupakan pemimpin wanita yang juga ahli politik ini dikurniakan enam orang cahaya mata, dimana tiga daripadanya syahid ketika berkhidmat sebagai tentera.
Ummu Nidhal atau dikenali juga sebagai Khansa' Palestin adalah seorang ibu hebat yang menyerahkan kesemua anaknya untuk menentang tentera Zionis. Ketika menerima berita tentang kematian anaknya, Ummu Nidhal tidak terkejut bahkan beliau bersedia untuk menyerahkan kesemua anaknya untuk mati syahid.
Dalam sebuah wawancara, beliau pernah berkata; "Anak saya telah syahid. Dia yang akan menolong saya dengan kesyahidannya. Sesiapa yang menyayangi anak-anaknya berikanlah sesuatu yang paling berharga semampunya kepada anakmu.
Dan perkara paling berharga yang boleh diberikan ialah syurga". Baca serta hayatilah kata-kata ibu Mujahid ini yang telah mempersembahkan kesemua anaknya kepada Allah S.W.T serta menanti saat dan detik untuk beliau sendiri bertemu dan berkumpul bersama anak-anaknya di syurga yang tertinggi!
Antara perkataan yang sering diungkapkan oleh Ummu Nidhal adalah: "Kematian adalah suatu perkara yang menyedihkan, tetapi jangan bimbang kerana bertemu dengan Allah, adalah suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan (mengatasi perasaan sedih tersebut)".
Begitu kuat, cekal serta tabah hati ibu ini. Semoga semua ibu-ibu dan kaum wanita khususnya di luar sana dapat mengambil iktibar dalam melahirkan dan mendidik seramai mungkin generasi Mujahid yang bakal meletakkan Islam ini ke tempat yg tertinggi satu hari nanti!
Nama Ummu Nidhal kekal harum sehingga kini meskipun telah kembali ke rahmatullah pada 17 Mac 2013.
SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA. DOAKAN PALESTIN !